PERSATUAN GURU PENDIDIKAN ISLAM SEKOLAH RENDAH DAERAH RANAU, SABAH.

Home | TAZKIRAH | Sejarah | Buku Perlembagaan | Carta Organisasi | Aktiviti
Buku Perlembagaan Persatuan

PERLEMBAGAAN PERSATUAN GURU-GURU PENDIDIKAN ISLAM

SEKOLAH RENDAH DAERAH RANAU, SABAH.

 

Perkara 1:        Nama

                        Persatuan ini dikenali dengan nama:

                        PERSATUAN GURU-GURU PENDIDIKAN ISLAM 

                        SEKOLAH RENDAH dengan nama singkatan PGPISR 

                        daerah Ranau dalam negeri Sabah, Malaysia (selepas 

                        daripada ini akan dirujuk sebagai “Persatuan”).

 

Perkara 2:      Alamat Berdaftar dan Pos Persatuan

                        Alamat Berdaftar dan Pos Persatuan ialah di Pejabat 

                        Pelajaran Daerah Ranau (selepas ini akan dirujuk sebagai

                        singkatannya PPD Ranau),          

                        Beg Berkunci No. 8, 89300 Ranau, Sabah(U.P En. Kamil

                        Kasibun, Penyelia Pendidikan Islam PPD Ranau) atau di

                        mana-mana tempat dan sesiapa yang memegang jawatan

                        Penyelia Pendidikan Islam di PPD Ranau dalam tahun

                        semasa.

 

Perkara 3:       Tujuan persatuan ditubuhkan

                        2.1 Menyelaras aktiviti-aktiviti guru-guru Pendidikan Islam

                             di sekolah-sekolah rendah di bawah Kementerian

                             Pelajaran Malaysia di dalam daerah Ranau.

                        2.2 Untuk melindungi dan memajukan hak, kepentingan

                              serta menjaga kebajikan guru-guru Pendidikan Islam di

                              sekolah-sekolah rendah di bawah Kementerian

                              Pelajaran Malaysia di dalam daerah Ranau.

                        2.3 Membantu Penyelia Pendidikan Islam Pejabat

                               Pelajaran Daerah Ranau dalam hal-hal yang berkaitan

                               dengan Kurikulum dan Ko-kurikulum Pendidikan

                               Islam di sekolah rendah di bawah Kementerian

                               Pelajaran Malaysia di daerah Ranau.

                        2.4 Menyelaras kursus, seminar dan aktiviti yang berkaitan

                              dengan Islam bagi murid-murid dan guru-guru yang 

                              beragama Islam dalam daerah Ranau.

                        2.5 Membantu meningkatkan kualiti pengajaran dan

                              pembelajaran serta aktiviti ko-kurikulum Pendidikan

                              Islam di sekolah rendah Kementerian Pelajaran

                              Malaysia di daerah Ranau.

                        2.6 Membantu aktiviti-aktiviti yang berkaitan J'Qaf

                              sekiranya diperlukan.

                        2.7 Untuk menyediakan platform untuk komunikasi dan

                               pertukaran pendapat di kalangan ahli.

                        2.8 Untuk mengekalkan dan mempertingkatkan taraf

                              profesionalisme dalam pengajaran dan pembelajaran,

                              penyelidikan (termasuk pameran), dan penerbitan di 

                              kalangan guru-guru pendidikan Islam sekolah rendah di

                              bawah Kementerian Pelajaran Malaysia  di

                              daerah Ranau.

                        2.9 Untuk memberi peluang mengutarakan serta 

                              membicarakan isu-isu berkaitan dengan kepimpinan 

                             dan pengurusan kurikulum dan ko-kurikulum.

                         2.10 Menjadi saluran komunikasi antara ahli dengan pihak

                                PPD, SPPIM dan JAPIM berkaitan isu-isu akademik 

                                dan profesionalisme.

                        2.11 Untuk mengutara dan menyebarluaskan pendapat

                                bermaklumat tentang pelbagai aspek kepentingan

                                akademik melalui penerbitan, seminar dan sebagainya.

                        2.12 Untuk mengukuhkan perpaduan di kalangan para ahli

                                melalui aktiviti sosial, pendidikan dan lain-lain.

 

 Perkara 4:        Keahlian

                        Semua guru Pendidikan Islam (GPI) yang ditempatkan di 

                        sekolah-sekolah rendah di bawah Kementerian Pelajaran

                        Malaysia, sama ada tetap atau sandaran atau sementara atau

                        menganti,(bagi sementara atau menganti bagi yang melebihi 12

                        bulan sahaja) yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam

                        atau J'Qaf adalah secara automatik menjadi ahli persatuan.  

                        Keahlian adalah wajib. Walaubagaimanapun GPI boleh

                        memohon untuk tidak mahu menjadi ahli dengan membuat

                        permohonan secara bertulis  kepada  Ahli Majlis Tertinggi

                        Persatuan. Selepas itu segala hak, kepentingan, bantuan dan

                        sebagainya akan terlucut. Walaubagaimanapun Ahli Majlis 

                        Tertinggi boleh menolak permohonan tersebut.

 

Perkara 5:       Yuran

                        (a) Bayaran yuran yang hendak dibayar adalah RM 30 

                             setahun.

                        (b) Yuran tahunan hendaklah dibayar kepada bendahari

                              seminggu sebelum cuti akhir tahun bagi yuran tahunan yang

                             berkenaan.

                        (c) Ahli yang berhutang lebih daripada dua tahun akan diberi

                             surat ingatan oleh setiausaha atau wakilnya dan ahli

                             tersebut hilang hak keistimewaan sebagai ahli sehingga

                             hutangnya telah dibayar.

                        (d) Ahli yang tidak menjelaskan yurannya lebih daripada tiga

                             tahun dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli dan

                             tindakan yang sah boleh diambil terhadapnya.

                        (e)  Ahli yang membiarkan keahliannya terlucut disebabkan

                              hutang hendaklah mengemukakan surat permohonan untuk

                              masuk semula menjadi ahli persatuan beserta bayaran

                              yuran yang tertunggak.

                        (f)  Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk

                              perkara yang tertentu boleh dijalankan dengan persetujuan

                              mesyuarat agung atau mesyuarat ahli jawatankuasa kerja. 

                              Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang tesebut

                              dalam masa yang telah ditetapkan, maka wang itu akan

                             dianggap sama seperti hutang yuran tahunan.

(g)     Yuran bagi ahli yang berhenti kerana berpindah ke sekolah lain diluar dari daerah Ranau, dilucut jawatan, berhenti atau bersara hendaklah dijelaskan sebelum bertukar atau melepaskan jawatan.

(g)     Mana-mana ahli yang dilantik sebagai Yang Dipertua (Presiden), Setiausaha Kehormat dan Bendahari Kehormat dikecualikan daripada bayaran yuran tahunan bagi tahun semasa ia dilantik.

(h)     Mana-mana ahli yang dilantik sebagai penasihat juga dikecualikan bagi yuran tahunan sepanjang dia menyandang jawatan tersebut.

 

          

Perkara 6:       Berhenti daripada menjadi ahli

                        Ahli dikira berhenti jika:

                        5.1 Bertukar ke sekolah lain di luar dari daerah Ranau.

                        5.2 Dilucut jawatan, berhenti atau bersara.

                        5.3 Berhutang seperti perkara 4(c).

                        5.4 Momohon untuk berhenti.

 

Perkara 7:      Mesyuarat agung tahunan

 

a)      Semua Mesyuarat Agung haruslah dipengerusikan oleh

                              Yang Dipertua (Presiden) atau NaibYang Dipertua (Naib 

                              Presiden)  ketika ketiadaan Yang Dipertua (Presiden).

                              Seseorang ahli biasa yang berhak selain dari Setiausaha

                              Kehormat dan Bendahari Kehormat  Persatuan, boleh

                             dilantik menjadi Pengerusi Mesyuarat sekiranya kedua-dua

                             Yang Dipertua(Presiden) dan NaibYang Dipertua (Naib

                             Presiden) tidak dapat hadir ke mesyuarat tersebut.

b)      Pengelolaan persatuan ini terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya ¼ daripada jumlah ahli yang hadir atau 2 kali ganda daripada Ahli Majlis Tertinggi yang mana satu yang lebih rendah dalam mesyuarat agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi bilangan korum untuk mesyuarat.

c)      Jika korum tidak cukup selepas setengah jam dari waktu yang ditetapkan, mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan ke suatu tarikh (tidak kurang dari 72 jam dan tidak lebih dari  2 minggu dari tarikh mesyuarat terdahulu) yang ditetapkan oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi.Tiada perubahan agenda boleh dibuat di sepanjang tempoh penundaan. Jika korum tidak cukup selepas setengah jam dari waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu, maka berkuasalah  ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang dan perlembagaan persatuan dan membuat keputusan tentang semua ahli.

a)      Mesyuarat agung tahunan bagi persatuan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin  dan tidak boleh lebih daripada 30 Jun setiap tahun. Pada tarikh, masa, dan tempat yang ditetapkan oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi.

      Kerja-kerja mesyuarat agung tahunan ialah:

i.                     Mengesahkan minit mesyuarat agung yang sebelumnya.

ii.                   Menerima laporan jawatankuasa yang berkenaan tentang kerja-kerja persatuan pada tahun lalu.

iii.                  Menerima laporan bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun lalu.

iv.                 Menerima anggaran pendapatan dan perbelanjaan untuk tahun yang mendatang.

v.                   Melantik ahli-ahli jawatankuasa dan pemeriksaan kira-kira untuk tahun yang mendatang.

vi.                 Membahaskan usul-usul yang dikemukakan oleh ahli sekurang-kurangnya 7 hari  sebelum tarikh mesyuarat agung.

vii.                Menguruskan perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

 

b)      Pemberitahuan awal mesyuarat agung tahunan yang menerangkan tarikh, waktu dan tempat dan panggilan untuk memberi cadangan yang hendak dibahaskan dan cadangan untuk meminda undang-undang, hendaklah diberi  oleh setiausaha kepada ahli-ahli tidak lewat daripada 15 hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk bermesyuarat. Pemberitahuan mesyuarat ini hendaklah diberitahu melalui surat kepada semua ahli melalui sekolah masing-masing.

c)      Pencalonan untuk pemilihan pegawai, ahli jawatankuasa dan cadangan untuk dibincangkan di dalam mesyuarat agung hendaklah dihantar oleh ahli-ahli kepada setiausaha tidak lewat daripada 7 hari selepas penerimaan pemberitahuan mesyuarat.

d)      Setiausaha hendaklah menghantar kepada setiap ahli sekurang-kurangnya 21 hari sebelum diadakan mesyuarat, satu agenda (susunan acara mesyuarat) termasuk salinan peringatan mesyuarat, laporan dan penyata, cadangan dan perkara-perkara yang berkaitan dengan mesyuarat.

e)      Mesyuarat agung khas persatuan bolehlah diadakan:

i.                     Apabila difikirkan mustahak oleh jawatankuasa, atau

ii.                   Atas permintaan bertulis oleh tidak kurang 25 orang ahli dengan menerangkan tujuan dan sebab-sebab mengadakannya.

 

f)        Mesyuarat agung khas yang diminta oleh ahli-ahli persatuan hendaklah diadakan pada satu tarikh dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.

a)      Pengumuman dan agenda mesyuarat agung khas itu hendaklah diedarkan oleh setiausaha kepada semua ahli sekurang-kurangnya 7 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk mesyuarat itu.

b)      Fasal (b) dan (c) dalam undang-undang ini yang berkenaan dengan korum dan penangguhan mesyuarat agung tahunan boleh digunakan untuk mesyuarat agung khas, tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi mesyuarat agung khas itu, maka mesyuarat itu hendaklah dibatalkan dan sekurang-kurangnya 1 bulan dari tarikh ini, mesyuarat agung khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidak boleh diadakan.

 

Perkara 8:      Jawatankuasa

 

(a)    Satu jawatankuasa kerja seperti berikut yang dinamakan Pegawai Persatuan hendaklah dipilih di dalam Mesyuarat Agung Tahunan yang terdiri daripada:

                                                                     i.       Seorang Yang Dipertua (Presiden).

                                                                   ii.       Seorang Naib Yang Dipertua (Naib Presiden).

                                                                  iii.       Seorang Setiausaha Kehormat

                                                                 iv.       Seorang Penolong Setiausaha Kehormat (Jika perlu)

                                                                   v.       Seorang Bendahari Kehormat

                                                                 vi.       Seorang Penolong Bendahari Kehormat (Jika Perlu)

                                                                vii.       8 orang ahli jawatankuasa (Mewakili setiap zon dalam daerah Ranau).

                                                              viii.       1 orang wakil Guru Pendidikan Islam yang mengajar J'Qaf.

 

(b)   Nama-nama untuk jawatan yang di atas hendaklah dicadangkan dan disokong oleh ahli dan pemilihan dijalankan dengan cara mengundi dalam mesyuarat agung tahunan. Cara mengundi adalah dengan cara dicadangkan oleh  seorang pencadang dan disokong oleh seorang penyokong manakala jika ada lebih dari seorang calon maka ahli persatuan akan mengundi dalam mesyuarat agong dengan cara mengangkat tangan.

(c)    Jawatankuasa yang dilantik bertanggungjawab mengelola, mengatur dan mentadbir kerja-kerja harian persatuan dan membuat keputusan bagi perkara-perkara yang mengenai perjalanan persatuan dengan tidak terkeluar dari dasar yang ditetapkan oleh mesyuarat agung. Jawatankuasa tidak boleh membuat tindakan yang bertentangan dengan keputusan mesyuarat agung. Jawatankuasa hendaklah memberi laporan tentang segala kegiatan tahun lalu dalam mesyuarat agung tahunan.

     Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam 3 bulan dan notis panggil mesyuarat hendaklah dikeluarkan oleh setiausaha kepada ahli-ahli 14 hari sebelum mesyuarat dijalankan. Yang Dipertua (Presiden) dengan atau tidak kurang daripada tiga orang ahli jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya ½ daripada bilangan ahli jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan  perjalanan mesyuarat  dan mencukupkan korum mesyuarat.

(a)    Ahli jawatankuasa yang tidak menghadiri mesyuarat jawatankuasa sebanyak 3 kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan adalah disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan sebagai ahli jawatankuasa dan tindakan yang sah boleh diambil terhadapnya.

(b)   Jika seseorang ahli jawatankuasa meninggal dunia atau meletak jawatan, calon yang kedua yang mendapat undi terbanyak dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhi kekosongan itu. Jika calon itu tidak ada atau menolak, maka jawatankuasa berkuasa melantik mana-mana seorang ahli bagi memenuhkan kekosongan itu sehingga mesyuarat agung tahunan diadakan.

(c)    Jawatankuasa boleh mengarahkan setiausaha dan pegawai-pegawai lain menjalankan tugas dan urusan persatuan. Ia boleh melantik para petugas yang difikirkan mustahak. Jawatankuasa juga boleh menggantung dan melucutkan jawatan para petugas yang didapati cuai, curang, tidak cekap, ingkar, atau  kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan persatuan.

(d)   Antara satu mesyuarat agung ke satu mesyuarat agung yang lain, jawatankuasa boleh memberi tafsirannya pada undang-undang ini dan apabila mustahak boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini.

 

Perkara 9:      Kewajipan pegawai

(a)    Yang Dipertua (Presiden) mempengerusikan semua mesyuarat agung dan semua mesyuarat jawatankuasa. Beliau bertanggungjawab terhadap kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat itu. Dia juga mempunyai undi pemutus dan menandatangani peringatan mesyuarat apabila telah diluluskan. Yang Dipertua(Presiden) juga hendaklah menandatangani semua cek dan baucer persatuan bersama-sama dengan Setiausaha Kehormat dan Bendahari Kehormat.

(b)    Naib Yang Dipertua (Naib Presiden) membantu Yang Dipertua(Presiden) dan memangku jawatan Yang Dipertua(Presiden) semasa ketiadaan Yang Dipertua (Presiden).

(c)    Setiausaha Kehormat menjalankan kerja-kerja persatuan mengikut undang-undang dan menjalankan segala perintah mesyuarat agung dan mesyuarat jawatankuasa. Dia bertanggungjawab menguruskan surat-menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali buku kira-kira dan buku kewangan. Dia hendaklah hadir dalam semua mesyuarat dan membuat catatan. Dia hendaklah menandatangani semua cek dan baucer persatuan bersama-sama dengan Yang Dipertua (Presiden) dan bendahari.

(a)    Penolong Setiausaha Kehormat bertugas membantu Setiausaha Kehormat dan memangku jawatan Setiausaha Kehormat semasa ketiadaan Setiausaha Kehormat.

(b)   Bendahari Kehormat bertanggungjawab terhadap semua hal kewangan persatuan. Dia yang membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan dengan semua urusan kewangan dan bertanggungjawab terhadap kebetulannya. Dia menandatangani semua cek dan baucer persatuan bersama-sama Yang Dipertua (Presiden) dan Setiausaha Kehormat.

(c)    Penolong Bendahari Kehormat bertugas membantu Bendahari Kehormat dan memangku jawatan Bendahari Kehormat semasa ketiadaan Bendahari Kehormat.

 

Perkara 10:    Kewangan

(a)    Wang persatuan hanya boleh digunakan untuk perkara-perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan persatuan dan tidak boleh digunakan untuk membayar denda atau membantu ahli-ahli yang dikenakan hukuman kerana melanggar undang-undang.

(b)   Bendahari dibolehkan menyimpan wang tunai tidak lebih RM300.00 pada satu-satu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mesti dimasukkan ke dalam akaun bank dalam tempoh tujuh hari. Akaun bank itu adalah atas nama persatuan.

(c)    Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari akaun persatuan hendaklah ditandatangani bersama oleh Yang Dipertua(Presiden), Setiausaha Kehormat dan Bendahari Kehormat.

(d)   Perbelanjaan yang melebihi RM1000.00 pada satu-satu masa tidak boleh dibayar tanpa kelulusan terlebih dahulu oleh jawatankuasa. Perbelanjaan  bagi satu-satu tahun itu tidak boleh melebihi anggaran yang telah diluluskan oleh mesyuarat agung sebelumnya.

(e)    Penyata kewangan yang diterima dan yang dibelanjakan beserta akaun bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari Kehormat dan diperiksa oleh pemeriksa kira-kira mengikut Perkara 10 dengan seberapa segera setelah tamat tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukan untuk kelulusan mesyuarat agung tahunan yang berikutnya.

(f)       Tahun kewangan persatuan ialah dari 1hb Jun hingga 31 Mei tiap-tiap tahun.

 

Perkara 11:    Pemeriksa kira-kira

(a)    Dua orang pemeriksa kira-kira yang bukan pegawai dan ahli jawatankuasa persatuan hendaklah dilantik dalam mesyuarat agung tahunan. Mereka akan memegang jawatan selama setahun.

(a)    Pemeriksa kira-kira dikehendaki memeriksa kira-kira kewangan persatuan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan dalam mesyuarat agung. Mereka boleh pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Yang Dipertua memeriksa kira-kira kewangan persatuan bagi mana-mana masa dalam tempoh jawatan mereka dan membuat laporan kepada jawatankuasa.

 

Perkara 12:    Penasihat / Penaung

(a)    Persatuan akan melantik seorang penaung dan dua orang penasihat.

(b)   Pegawai Pelajaran Daerah Ranau adalah secara automatik menjadi penaung persatuan.

(c)    Penyelia Pendidikan Islam Daerah Ranau di PPD daerah Ranau adalah secara automatik menjadi penasihat 1 persatuan.

(d)    Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak menjadi penasihat 2 bagi persatuan ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis.

                       

Perkara 13:    Larangan

(a)    Persatuan tidak boleh menjalankan apa jua bentuk loteri sama ada dikhaskan kepada ahli atau tidak bagi mendapatkan sumber kewangan persatuan.

(b)   Persatuan dilarang mengendalikan kegiatan yang bertentangan dengan undang-undang negara, ajaran dan tatasusila masyarakat Islam.

(c)    Persatuan dilarang menggunakan bahasa selain Bahasa Malaysia dalam urusan rasmi iaitu yang berkaitan dengan penggunaan undang-undang dan peraturan, mesyuarat, catatan minit masyuarat, surat-menyurat, kenyataan dan yang seumpamanya, kecuali mesyuarat tersebut merupakan mesyuarat dan persidangan peringkat  antarabangsa.

(d)   Persatuan dilarang bergabung dengan persatuan-persatuan yang lain.

 

Perkara 14:    Pindaan undang-undang / peraturan

                        Undang-undang dan peraturan ini tidak boleh diubah atau

                        dipinda kecuali dengan keputusan mesyuarat agung dengan

                        persetujuan 2/3 bilangan ahli. Perubahan atau pindaan hanya

                        boleh dikuatkuasakan mulai dari tarikh perubahan dan pindaan

                        itu dibenarkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah Ranau, dibawah

                        kuasa Pegawai Pelajaran Daerah Ranau.

 

Perkara 15:   Aktiviti

(a)    Setiap aktiviti persatuan akan diadakan pada hari sabtu dan ahad kecuali mesyuarat agung yang mana boleh dijalankan pada hari selain daripada hari tersebut. Walaubagaimanapun jika ahli jawatankuasa memikirkan perlu dijalankan pada hari selain sabtu dan ahad maka ia boleh dipertimbangkan mengikut persetujuan ahli jawatankuasa dalam mesyuarat pengelolaan aktiviti.

(b)   Setiap aktiviti perlu ditetapkan di dalam takwim tahunan persatuan.

(a)    Mana-mana aktiviti yang perlu atau dicadangkan selain daripada yang terdapat dalam takwim persatuan perlulah pencadang tesebut:

i.                     Dikalangan ahli persatuan sahaja.

ii.                   Menghantar permohonan secara bertulis kepada Yang Dipertua (Presiden) persatuan 30 hari sebelum tarikh cadangan aktiviti tersebut. Ianya hendaklah dilampirkan bersama-sama kertas cadangan.

 

(b)   Dalam fasal (c) di atas permohonan tertakluk kepada persetujuan Yang Dipertua persatuan (Presiden) , Setiausaha Kehormat dan Bendahari Kehormat persatuan.

(c)    Setiap aktiviti yang dicadangkan diluar dari takwim juga tertakluk kepada masa dan kewangan semasa persatuan.

(d)   Aktiviti-aktiviti persatuan boleh dijalankan kepada ahli persatuan dan bukan ahli persatuan.

 

Perkara 16:    Pembubaran

(a)    Persatuan ini boleh dibubarkan dengan persetujuan tidak kurang 2/3 daripada jumlah semua ahli.

(b)   Sekiranya persatuan hendak dibubarkan secara disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan persatuan yang sah mengikut undang-undang hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam mesyuarat agung pembubaran.

(c)    Sekiranya persatuan tidak lagi dapat berjalan mengikut undang-undang atau berjalan tetapi tidak menurut undang-undang maka Pejabat Pelajaran Daerah Ranau dibawah kuasa Pegawai Pelajaran Daerah Ranau boleh menggantung atau menarik pendaftaran persatuan ini. Apabila pendaftaran persatuan ditarik balik maka ini bermakna persatuan ini dibubar dengan sendirinya.

 

______________________________

(MOHAMAD RAZI BIN ZULKIFLI)

Yang Dipertua

Persatuan Guru-Guru Pendidikan Islam

Daerah Ranau, Sabah.

 

 

_________________________

(KASMARIAH BINTI MAIDI)

Setiausaha Kehormat

Persatuan Guru-Guru Pendidikan Islam

Daerah Ranau, Sabah.